Jan 13, 2025 12PM
Sandwic ham: Siasat, ambil tindakan terhadap pihak guna logo halal
Pemuda UMNO menggesa polis dan agensi berkaitan menjalankan siasatan serta mengenakan tindakan ke atas pihak yang terbabit selepas penemuan sandwic mengandungi ham yang status halalnya diragui dalam sebuah kedai serbaneka di Universiti Malaya (UM).
Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhammad Akmal Saleh mempersoalkan bagaimana ham yang biasanya dirujuk sebagai makanan berasaskan khinzir boleh mendapat logo halal.
“...Okaylah, mungkin dijual untuk orang bukan Islam, ini masih boleh diterima. Tetapi tengok balik bungkusan itu, ada logo halal.
“Saya nak tanya KK Mart, sejak bila ham dianggap halal dan bagaimana produk ini mendapat logo halal?
“Jika sandwic ham and cheese pun dapat logo halal, apakah jaminan keselamatan bagi produk halal lain yang dijual di situ,” katanya dalam satu perkongsian di Tik Tok, semalam.
Beliau yang juga pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka turut berkata, luka pertama membabitkan kedai serbaneka terbabit masih belum sembuh, sudah timbul pula isu lain berkaitan logo halal yang diletakkan pada pembukusan produk makanan berkenaan.
“Sebelum ini, kedai serbaneka itu turut mengguris hati (umat Islam) berhubung isu penjualan stoking ada kalimah Allah.
“Kali ini isu ham and cheese dapat logo halal dan dijual dalam UM secara terbuka.
“Kita sebagai orang Islam, ini bukan kali pertama. Ini adalah kali kedua. Cukuplah mereka ini mempersendakan agama kita,” katanya.
Pada 10 Jan lalu, UM mengarahkan penutupan serta-merta dua cawangan KK Mart di kampusnya berhubung penjualan pek sandwic yang diragui status halal.
UM berkata penutupan itu dikeluarkan bagi memberi ruang supaya siasatan dilaksanakan tanpa gangguan.
Waktu Solat
15 Jan 2025
Waktu solat berikutnya,
Asr
pada
16:48